Datuk Rohani Abdul Karim beramah mesra dengan peserta simposium pada perasmian majlis.
SERDANG, 4 Jan – Simposium Antarabangsa Pelajar Pertanian 2009 (IASS 2009) di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini telah membentuk jaringan ilmu dan pengalaman pelajar pertanian.
Simposium itu membincangkan pelbagai aspek, permasalahan dan cabaran pertanian di samping melahirkan usahawan pertanian.
Seramai 200 orang pelajar lima buah universiti tempatan dan antarabangsa telah menyertai simposium yang pertama kali diadakan anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (Permatani) dan Fakulti Pertanian UPM pada 4 hingga 13 Januari lalu dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Persatuan Pelajar Pertanian Antarabangsa dan Tabung Haji Plantations Berhad.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim dalam ucapan perasmiannya berkata sektor makanan berasaskan pertanian mempunyai potensi besar kerana krisis makanan global.
“Keperluan itu akan ditentukan oleh usahawan pertanian sendiri terutama memastikan pengeluarannya mencukupi dan harga berpatutan,” katanya.
Sementara itu wakil IASS Asia, Ibnu Sina Jaelani dari Indonesia berharap simposium akan datang disertai lebih banyak universiti dari negara ASEAN kerana setakat ini majoriti penyertaan organisasi antarabangsa di kalangan universiti Eropah.
Pelajar Jepun dari Niigata Universiti, Mitsue Sakamaki, 25, berkata simposium itu memberinya peluang berkongsi pengalaman mengenai teknologi pertanian terkini di negaranya ke arah pertanian lestari yang mampu menyediakan makanan secukupnya.
Selain UPM, peserta dari Universiti Malaysia Sabah, Universiti Kasetsart, Thailand; Universiti Niigata, Jepun dan Universiti Pertanian Bogor, Indonesia telah menyertai simposium selama 10 hari itu.
Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah lawatan sambil belajar, kunjungan ke kawasan pertanian serta tempat menarik sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Penutup simposium tersebut diserikan dengan majlis makan malam yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron di Palm Garden, Putrajaya.
Datuk Idris Haron beramah mesra dengan peserta Jepun semasa majlis penutup di Palm Garden, Putrajaya.
Sumber : Seksyen Media dan Publisiti, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM.
0 comments:
Post a Comment