Monday, January 12, 2009

Melestari Budaya Organisasi Prestasi Tinggi – Naib Canselor UPM

 
SERDANG, 6 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) memulakan lembaran baru 2009 dengan perutusan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah bertajuk ‘Melestari Budaya Organisasi Prestasi Tinggi’ di Dewan Bankuet, UPM, baru-baru ini.

Beliau merancang untuk meningkatkan prestasi akademik, pengurusan serta pelbagai pencapaian lain bagi mengukuhkan kedudukan UPM di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Antara perutusan penting beliau termasuk menambah baik perancangan strategik UPM untuk menjadi pemimpin dunia dalam A World Leader in The New Tropical Agriculture dan memperbaiki penarafan The Times Higher Education - Quacquarelli Symonds (THE-QS).

Katanya, UPM perlu memperkemas dan memperkasakan institusi selain belajar daripada institusi yang diakui terbaik seperti Harvard University, Oxford University dan University of Yale yang berjaya mengekalkan kecemerlangan mereka selepas berdekad penubuhannya.

“Jangan memberi alasan sejarah penubuhan universiti lagenda tersebut kerana National University of Singapore yang masih muda juga mampu berada di kedudukan ke-30 universiti terbaik dunia tahun lalu,” katanya.

Dr. Nik Mustapha berkata UPM perlu sentiasa proaktif mendepani cabaran dan sentiasa memimpin serta tidak menjadi pengikut sehingga menjadi kayu pengukur kepada institusi lain.

Beliau berkata UPM perlu menjadi ‘Penyedia Perkhidmatan Pilihan’, ‘Majikan Pilihan’ dan ‘Institusi Pelaburan Pilihan’ dengan menyediakan perkhidmatan terbaik supaya menjadi pilihan pelajar, pekerja dan pelabur melalui aktiviti perundingan, perniagaan dan perkhidmatan kepakaran bagi tujuan komersial.

“Budaya kesegeraan hanya dapat dicapai jika kita mengikut model SCORES- ‘Shared information and open communication (Perkongsian maklumat dan komunikasi terbuka), Compelling vision (Visi yang meyakinkan), Ongoing Learning (Pembelajaran berterusan), Relentless focus on customer results (Kelestarian keutamaan pelanggan), Enegergizing systems and structures (Memperkasa sistem dan struktur) dan Shared power and high involvement (Perkongsian Kuasa dan pembabitan menyeluruh),” katanya. 

Melalui penambahbaikan organisasi, amalan ‘flat organization’ menjadi pilihan terbaik dalam komunikasi di UPM bagi mengelakkan salah faham selain mengamalkan komunikasi yang lebih terbuka antara semua kakitangan.

“‘Flat organization’ menuntut kita melaksanakan budaya pengupayaan dalam organisasi yang membolehkan kuasa autonomi akan membentuk ‘self directed team’ dan ‘self directed individual’.

“Selain itu, kita akan berusaha membangunkan ‘Cockpit Management’ pada tahun ini yang boleh membantu keberkesanan pengurusan maklumat menggunakan pemantauan prestasi kualiti membabitkan seluruh warga universiti melalui Indeks Prestasi Utama dan ‘Balance Score Card’.

“Tahun ini, kita perlu mengekalkan status Universiti Penyelidikan supaya dapat menyumbang dengan lebih berkesan kepada pembinaan kekayaan negara,” katanya.

Dr Nik Mustapha berkata Perancangan Pelan Strategi yang baru dirangka merangkumi visi yang jelas dengan ciri keluwesan (fleksibiliti) dan pengubahsuaian mengikut perubahan suasana dan ruang masa.

“UPM perlu mempunyai wawasan yang jelas dengan mengambil kira perubahan persekitaran semasa sejajar dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

“High Performing Organization mengutamakan budaya pengupayaan dengan menjadikan keseluruhan entiti saling berkait, berkongsi matlamat, bergerak sehaluan, dan mempunyai motivasi tinggi,” katanya.

Beliau percaya melalui ‘Melestari Budaya Organisasi Prestasi Tinggi’ UPM akan berupaya melakukan peningkatan dan mempratikkan konsep ‘Total Quality Management’ lebih berkesan, merealisasikan semua matlamat secara efektif dan memberi impak kepada ketamadunan bangsa.

“Apa juga amalan terbaik yang terhasil seharusnya dikongsikan bersama di kalangan warga universiti bagi mewujudkan persaingan sihat dan mempercepatkan proses evolusi UPM pada kedudukan lebih tinggi,” katanya.

Disediakan oleh Seksyen Media dan Publisiti, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM.

0 comments: