Monday, September 1, 2008

Perutusan Ramadhan 1429 H


Assalamu’alaikum w.b.t. dan Salam Ramadhan,

Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan kurniaNya, diizinkan kita meneruskan kehidupan di alam syahadah ini dan kita masih diberi kesempatan untuk bertemu kembali bulan Ramadhan yang penuh barokah ini.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Ramadhan adalah salah satu institusi tarbiyyah wadh’iyyah yang terbaik yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk ummat Nabi Muhammad s.a.w. Ramadhan adalah suatu masa yang telah dikhususkan kepada kita untuk menggilap iman di hati setelah pudar sinarnya kerana diliputi debu-debu dosa. Dalam bulan Ramadhan, terdapat promosi besar-besaran untuk kita memperbanyakkan amal kebaikan kita. Di samping itu juga, peluang untuk menghapuskan dosa-dosa terbuka luas. Nah! Masakan kita tidak terliur dengan tawaran yang hebat ini! Sedangkan jika Farley mengadakan promosi besar-besaran, sudah tentu kita memborong berhabis-habisan!

Justeru, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada rakan-rakan sekalian agar kita berusaha semaksimum mungkin, memanfaatkan peluang umur yang masih ada untuk meraih kemanisan beribadah kepada Allah. Sekiranya sebelum ini kita terbiasa meninggalkan suruhan Allah dan melakukan kemungkaran, maka marilah kita menanamkan azam untuk meletakkan Ramadhan sebagai titik permulaan untuk kita kembali kepada fitrah kejadian kita. Semoga Allah mengampuni segala kesalahan kita dan menetapkan hati-hati kita di dalam hidayahNya.

Marilah kita sama-sama merenung sepotong ayat dari kalamullah:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu puasa (Ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: 183)

Berdasarkan ayat ini, dapat difahami bahawa ibadah puasa bertujuan untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Maka, sekiranya kewajipan puasa gagal melahirkan sifat taqwa dalam diri seseorang individu, inilah alamat dia telah gagal dalam ibadah puasanya.

Akhir kata, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak dan selamat memperkasakan diri dengan tarbiyyah Ramadhan. Semoga kita beroleh ijazah taqwa.

Wallahua’lam, sekian.

Wassalam.

MOHD IZZU’DDIN ISMAIL

Pengerusi Siswa,

Biro Pembangunan Insan,

Majlis Tertinggi Mahasiswa.

0 comments: