Monday, September 1, 2008

Ucapan Ketua Pengarah Karnival Merdeka 2008 Di Majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka


Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamu’alaikum w.b.t. dan salam merdeka.

Alhamdulillah, pertama-tamanya marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka, Karnival Merdeka 2008 dapat kita raikan pada malam yang berbahagia ini.

Hadirin sekalian,

Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil daripada penat jerih, titisan keringat dan darah daripada pejuang-pejuang yang terdahulu yang berjuang selama lebih dari 450 tahun untuk mencapai kemerdekaan setelah dijajah di tangan beberapa kuasa asing. Jasa mereka perlu sentiasa kita sematkan dalam hati dan menghargainya dengan cara mengisi kemerdekaan yang kita nikmati sebaik-baiknya.

Kita sedia maklum, bahawa penjajahan Neo-Kolonialisme iaitu penajajahan era baru yang menjajah bukan lagi dalam bentuk pemerintahan dan ketenteraan. Tetapi penguasaan kuasa asing dalam soal ekonomi dan budaya masyarakat. Justeru, di sini saya ingin menekankan bahawa kita terutama warga mahasiswa perlulah kental dalam mempertahankan budaya ketimuran kita yang terkenal dengan sopan santunnya daripada disisihkan oleh masyarakat yang mula dipengaruhi budaya Barat.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Sedar tidak sedar, kemerdekaan negara kita telah menjangkau usia 51 tahun. Usia ini bukanlah usia tua bagi sesebuah negara. Negara kita masih muda. Namun jika diamati, kita sudah berjaya memahat kejayaan yang setaraf dengan negara-negara maju. Jika kita fokuskan kepada bumi Sarawak ini sendiri yang telah mencapai kemerdekaan semenjak 1963 iaitu pada 16 September yang digelar sebagai Hari Malaysia setelah bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk negara Malaysia bersama Singapura pada masa itu.

Hari ini, Sarawak sudah menjadi salah sebuah destinasi yang terkenal di dunia dalam sektor perlancongan. Malahan, dalam bidang perindustrian dan ekonomi, Sarawak menyumbang hasil petroleum yang besar dalam Malaysia dan juga bagi pasaran dunia.

Pada tahun ini telah menjangkau usia 45 tahun Sarawak berada di dalam Malaysia. Pelbagai program telah dianjurkan oleh kerajaan negeri Sarawak bagi meraikan kejayaan yang telah dilakarkan sepanjang usia tersebut. Di peringkat UPMKB, terutama bagi yang bergelar mahasiswa, kita hendaklah mengambil peranan sebagai warga Malaysia yang berbilang kaum dalam memelihara perpaduan yang telah diwujudkan sejak dahulu lagi. Di kalangan mahasiswa perlulah memupuk kerjasama yang erat tanpa dibatasi sempadan negeri masing-masing, sentimen perkauman dan sebagainya. Kerana kita adalah warga Malaysia.

Hadirin sekalian,

Sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini mungkin sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pada tahun ini sambutan kita berlatarbelakangkan Bulan Ramadhan yang bakal kunjung tiba pada hari lusa, Isnin ini. Mungkin inilah titik perubahan yang mana sambutan hari kemerdekaan perlu lebih diisi dengan aspek pembangunan insaniyyah dan kerohanian supaya warga Malaysia lebih teguh prinsip hidupnya dengan budaya dan adat-adat yang tersendiri.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yg Berbahagia Pemangku Timbalan Dekan HEP, ketua-ketua jabatan dan staf-staf kerana sudi bersama dengan mahasiswa pada malam ini bagi meraikan Malam Ambang Merdeka, Karnival Merdeka 2008.

Tidak lupa juga, terima kasih kepada semua ahli-ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus untuk menjayakan program Karnival Merdeka 2008, para peserta pertandingan-pertandingan yang diadakan serta hadirin sekalian.

Selamat menyambut hari kebangsaan ke-51 dan selamat berpuasa bagi yang beragama Islam.

Sekian, wassalamu’alaikum w.b.t dan salam hormat.


MOHD IZZU'DDIN BIN ISMAIL
Ketua Pengarah,
Karnival Merdeka 2008,
UPM Kampus Bintulu.

0 comments: